Matematik Susah Ke?

September 03, 2015

Assalamualaikum.
Haa..Apa khabar anda semua? 
Harap-harap semuanya berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. InshaAllah.
Aku nak tanya ni, Matematik tu susah ke?
Bagi aku, YA memang susah. Huhuhu..
Kalau yang rasa senang tu, aku tahu korang pandai. Dah diam. Haha.

Okay, hari ni aku nak cerita sikit lah kisah hidup aku yang berkaitan dengan matematik. Siapa yang lemah atau kurang sikit dalam subjek Matematik, kita geng! Korang jangan risau, anda mampu mengubahnya. Tinggal lagi nak usaha atau tidak je. Haa..


Kisahnya bermula begini, sejak dari sekolah rendah lah aku ni kurang sikit bab-bab matematik ni. Rasa macam nak hantuk kepala dekat dinding je sebab susah sangat nak skor subjek matematik. Kadang-kadang rasa macam nak ponteng kelas matematik je sebab aku tak suka nak belajar subjek tu. Tapi, aku tak pernah ponteng pun sebab #sis budak baik. Haha. Begitulah hidup aku ketika itu, walaupun Mama dan Baba suruh aku banyak buat latihan, aku buat, tapi aku tak faham apa yang aku buat. (teruk seh aku ni). Lepastu, dihantar pula pergi kelas tambahan dekat sekolah supaya dapat membetulkan sel-sel otak aku yang lambat berhubung ni. Aku pun ikut je lah pergi kelas tambahan tu walaupun hatiku tidak merelakannya. Setiap kali peperiksaan je, matematik mesti keputusan dapat merah, gagal lah tu maknanya. Markah mesti 30 something, kalau okay pun 40 something. Alahai dapat keputusan je terus seram nak balik rumah, takut kena marah. Tapi bila dah selalu macam tu, aku rilek je balik rumah sebab dah tak kisah apa pun yang akan berlaku pada diriku ini. Hehehe.

Sampailah masa nak dekat UPSR, aku cuba juga berusaha untuk dapat lulus subjek matematik ni, aku nak "lulus" je tak harap lebih pun dari tu. Poyo-poyo buat latihan, acah-acah lah berusaha. Memang harap sangat dapat lulus subjek matemati ni, dan akhirnya bila keputusan UPSR dah keluar, korang tahu tak aku dapat skor apa subjek matematik ni? Haaa, LULUSSSSS iaitu C je tauuu. Punya lah aku bersyukur sangat masa tu, melonjak kegembiraan walaupun orang lain dapat 5A tak melompat-lompat macam aku pun. Hahaha. Rasa seronok tu sampai sekarang aku ingat dan sampai bila-bila. Alhamdulillah.

Masuk pula sekolah menengah, tak dapat asrama penuh pun. Yelah, matematik aku C kot, asrama penuh mana je nak kutip pelajar macam aku ni. Hahaa. Aku duduk asrama juga, jenis sekolah agama lah dekat Melaka. Berpindah dari Selangor ke Melaka pula. Berjauhan sekejap dengan keluarga (tak lah jauh mana pun). Masuk pula kat sekolah tu, subjek Matematik sudah semestinya akan menghantui setiap lena dan jagaku. Tambah lagi, subjek-subjek agama macam Hadis, Feqah, Sirah, Tauhid, Akhlak, Muthalaah dan apa entah lagi semuanya dalam BAHASA ARAB. Aku dah tak yakin yang aku boleh teruskan hidup di sekolah tu sampai tingkatan 5 atau tak. Tapi, bila dah lama-lama belajar aku rasa seronok pula. Best juga belajar bahasa arab ni.

Okay, masuk pula bab matematik. Haa, dah sekolah menengah mulalah mengarut je dia punya matematik. Pythogoras theorem lah, circles lah, Algebra lah, apa lah. Eeh, makin mengarut aku rasa. Tak suka langsung. Haha. Masa sekolah menengah, matematik sekejap lulus sekejap gagal.Biasalah tu turun dan naik lumrah dalam kehidupan. Alaa, kalau lulus pun markah aku hanya 50 something. Masih tak move on lagi dari C. Haha, Masih tidak berpuas hati. Cuma masa PMR, aku dapat B. Bagus, ada perubahan. Haha. Biarlah aku nak puji diri sendiri. Sibuk je. Aku tak tahu lah kenapa dengan otak aku masa tu, nak kena hantar servis kot.

Bila dah masuk tingkatan 4, aku dah mula rasa suka dekat matematik. Jatuh cinta pula dengan matematik. Sebab Baba ada kata "cuba set kan dekat minda tu, yang matematik ni senang" , Mama pula cakap "Orang lain boleh, takkan Dayah tak boleh." Fuh, acah-acah dapat semangat baru lah daripada Mama dan Baba. Aku pun mulakan misi untuk skor A subjek matematik ni. Masa ni aku dah rajin pergi jumpa cikgu kalau ada yang aku tak faham. Aku buat semua latihan yang cikgu suruh, tanya kawan kalau masih lagi tak faham, buat extra latihan lagi. Pergh, rajinnya aku ketika itu. Macam dah buang tebiat pun ada juga. Hahaa. Keputusan aku pun makin lama makin meningkat. Alhamdulillah.

Masuk pula Tingkatan 5, aku lebih bersemangat. Yelah kan, nak SPM kot tahun tu. Tak boleh nak main-main lagi. Bagi aku, SPM ni akan menentukan hala tuju aku lepas ni. Bukan matematik je tapi semua subjek yang aku ambil untuk SPM, aku usaha sungguh-sungguh. Aku ingat lagi, cikgu yang ajar aku matematik masa tingkatan 5 namanya Puan Siti Shara Bt Abdullah. Cikgu ni sangat lah baik dan lemah lembut, mengajar dengan penuh kesabaran, kalau aku tanya benda yang sama sampai 10 kali pun, dia masih sudi untuk menjawab. Lepas dia dah tahu aku pelajar target sekolah untuk SPM, dia selalu paksa aku siapkan latihan yang berlambak, bagi aku soalan-soalan dari negeri-negeri lain, suruh aku ajar kawan-kawan yang lain, suruh aku buat gerak gempur dan macam-macam lagilah. Kalau markah aku turun je dia akan tanya sebabnya dan suntik lagi kata-kata semangat. Mula-mula macam malasnya lahai, sebab banyak sangat latihan.Tapi, bila rasa macam dah mahir menjawab soalan matematik, Ya Allah, betapa indahnya hidup ini aku rasakan. Ecehh..

Masa yang ditunggu-tunggu, keputusan SPM diumumkan, Alhamdulillah, matematik aku dapat A. Bersyukur sangat, aku pergi cari cikgu Siti Shara tu nak peluk. Hehe. Aku rasa macam nak menangis pun ada di ketika itu. Haha. Terima kasih cikgu, ini semua sebab cikgu yang paksa dulu. Haha. Dan subjek-subjek lain juga begitu. Bila dah masuk universiti, aku lebih suka subjek mengira daripada membaca. Sesuai lah dengan kos yang aku amik sekarang, perbankan.

Kesimpulannya, kita ni sebenarnya bukan tak pandai cuma kadang-kadang malas. Sebenarnya kita semua boleh dan mampu untuk dapatkan sesuatu apa yang kita nak. Cuma kena usaha lebih lah. Kepada yang rasa macam matematik ni susah gila, silalah rajinkan diri anda untuk berjumpa dengan cikgu selalu dan buat latihan. Satu lagi, jangan lupa mohon bantuan dari Tuhan. Semoga kita semua berjaya. Kisah ini aku kongsi supaya korang tak anggap diri korang tu lemah selamanya, ada masa kita perlu bangkit dan mulakan langkah baru. InshaAllah, Allah itu menilai setiap usaha kita.

"MAN JADDA WAJADA, MAN ZAROA' HASODA"
Siapa yang berusaha akan berjaya, siapa yang menanam akan mendapat hasilnya.

Kisah dari: @bayang_hdyh





You Might Also Like

1 comments

WORDS OF WISDOMS

Train your mind to see the good in every situation