Biar Diri Semanis Madu

January 04, 2015

Assalamualaikum semua.

Kenapa gula dihurung oleh semut tetapi bukan pada madu?

Pernahkah kita mengambil iktibar daripada perkara ini?

Pada zahirnya, kedua-duanya memberikan rasa manis dan memberikan tenaga kepada manusia.

Secara saintifik, gula tergolong dalam pengelasan kristal karbohidrat yang boleh dimakan. Unsur-unsur yang ada pada gula termasuklah sukrosa, fruktosa dan laktosa. Ketiga-tiga unsur ini memberikan rasa manis pada gula.

Begitu juga madu. Terdapat unsur monosakarida fruktosa dan glukosa yang menyebabkan madu berasa manis seperti gula. Namun, komposisi madu berlainan daripada gula.

Madu lebih banyak khasiatnya daripada gula, Manis pada gula tidak sama manis pada madu.

Begitu juga manusia, khususnya kaum hawa. Wanita diciptakan begitu indah. Mereka mampu menggugat keimanan kaum lelaki jika tidak dipelihara adab, akhlak dan perilaku.

Sepertimana gula dan madu,. Manisnya gula menjadi kesukaan sang semut tetapi tidak ada pada madu. Sedangkan gula hanya terdiri daripada pemanis sukrosa, fruktosa, dan laktosa. 

Berbeza dengan manisnya madu. Sifat madu, tidak menarik perhatian sang semut walaupun terdiri daripada segala jenis nutrien. Penghasilan madu pula adalah melalui kaedah semula jadi iaitu daripada perut lebah yang Allah muliakan dan disebut dalam Al-Quran.

Wanita muslimah yang memelihara akhlak dan auratnya akan terlindung daripada gangguan lelaki ajnabi sepertimana yang ada dalam firman Allah berikut:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu."                     [Surah al-Ahzab 33:59]

Seorang wanita yang solehah mestilah berilmu, berakhlak dan menjaga kehormatan dirinya serta berkeupayaan melahirkan generasi yang cintakan Allah dan Rasul. Hal ini kerana dalam dirinya, dipenuhi dengan sifat mahmudah serta cintakan Allah dan Rasul yang membawa mereka taat kepada suami kerana Allah.

Sama seperti manisnya madu, menjadi penawar dan memberi manfaat kepada manusia dengan segala kandungan nutrien yang dimiliki. Madu tidak menarik perhatian sang semut, sedikit pun tidak mengurangkan khasiat dan manfaat.

Jauhkan diri kita daripada menjadi seperti gula. Khasiatnya kurang, sifatnya hanyalah pemanis semata serta senang pula menarik perhatian dan hurungan semut.

Wanita yang suka menarik perhatian lelaki, mudah goyah dan tersungkur lantaran kurang ilmu di dada, tandus akhlak mulia, dan kurang menjaga kehormatan diri.

What makes you different, makes you beautiful !

Semoga kita dapat mendidik diri menjadi seperti manisnya madu.






You Might Also Like

0 comments

WORDS OF WISDOMS

Train your mind to see the good in every situation