Lagi-Lagi Aurat

April 27, 2015








   Ya. Kali ini HYM nak membicarakan isu aurat. Tapi, kenapa aurat? Sebab isu aurat ini yang seringkali dipandang ringan dalam masyarakat. Bukan sebab mereka tidak tahu, tapi mereka tidak faham dengan jelas tentang aurat ini. Jadi, HYM ingin berkongsi sedikit pengetahuan tentang aurat bersama pembaca budiman bukan sebab HYM sudah sempurna, tapi ini juga sebagai peringatan untuk diri sendiri. HYM juga masih belajar menutup aurat dengan sempurna dan dipandang oleh Allah.

"Hek eleh, tahulah dia pakai tudung labuh. Tak habis-habis nak sibuk cakap pasal aurat."

"Bajet alem seh budak ni, orang dah tahulah aurat tu macam mana."

"Aduh, balik-balik aurat je."

Inilah sebahagian dialog yang sering diucapkan apabila berbicara soal aurat. Hakikatnya, isu ini bukanlah isu individu. Namun sangat berkait-rapat dengan agama, keluarga dan masyarakat.

   Mari kita mulakan perbincangan dengan bertaa'ruf dahulu dengan makna aurat itu sendiri. Aurat dari segi bahasa bermaksud keaiban. Menurut syarak pula ialah bahagian tertentu pada bahagian badan manusia yang wajib ditutup daripada pandangan yang bukan mahram. Seperti yang semua tahu, aurat wanita ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah daripada pusat hingga lutut.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan-perempuan yang baik). Maka, dengan itu mereka tidak akan diganggu. dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."  [Surah al-Ahzab 33:59]

   Berdasarkan ayat al-Quran ini, menutup aurat adalah wajib. Namun, jika hendak mengikut trend dan peredaran fesyen juga tidak salah di sisi agama. Cuma pemakaian hijab tersebut perlulah diselarikan dengan tuntutan asas menutup aurat. Jangan sesekali berhijab sebab nak cantik, nak style, nak up to date sehingga niat berhijab alri daripada landasan syariah. Melampau dalam berfesyen hanya mendatangkan fitnah bukan sahaja pada kaum hawa, malah fitnah kepada agama Islam itu sendiri.

   Sudah bertudung, tetapi masih lagi diganggu. Kenapa? Ini kerana janji tersebut hanya untuk wanita yang benar-benar menutup dan menjaga auratnya. Melalui penulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, beliau menyebut, "Wanita bertudung tidak lagi boleh disamakan dengan wanita yang menutup aurat kerana bertudung tidak semestinya menutup aurat." Hal ini kerana tudung yang dipakai tidak mencapai piawaian dan menepat syariat walaupun harga tudung tersebut mahal bukan kepalang.

   Menurut Ustaz Pahrol lagi dalam majalah Gen-Q isu-45, beliau ada menyentuh soal aurat ini, "Menutup aurat mestilah atas dasar tauhid dan keimanan kerana Allah. Jika niatnya 'kerana-kerana' yang lain, maka itulah menjerumuskan wanita bertudung ke arah kemungkaran." Disebabkan masyarakat masih beranggapan bahawa menutu aurat dan bertudung itu sama, maka mulalah ada mullut-mulut yang lantang menghukum orang lain dan berkata-kata nista berbaur penghinaan.

"Baik tak payah pakai tudung, perangai macam apa je."

"Walau sya tak bertudung, tapi hati saya baik dan solat 5 waktu"

"Bukan taknak tutup aurat, tapi masih belum sampai seru lagi."

   Begitulah ayat-ayat klise yang kerap kita dengar daripada wanita yang belum menutup aurat. Hakikatnya, semua ini hanyalah tipu daya syaitan yang merabuni mata hati supaya tidak mematuhi perintah Allah.

   Bertudung ini sebenarnya bukan sekadar  menutup aurat ye wahai sahabatku. Malah, ada perkara penting mesti ditutup dengan 'tudung' iaitu tudung pada wajah, 'tudung' pada mata, 'tudung' pada suara dan 'tudung' pada hati. Sekarang ini, pelbagai fesyen tudung yang ada di pasaran. Sebagai muslimah yang bijak, pilihlah tudung yang mengikut piawaian syariah. Tudung mestilah melepasi dada, melepasi bahu, tidak jarang, tidak melekap dan tidak tabarruj. Senang cerita, tudung tu hangpa semua boleh pakai terus untuk solat tanpa telekung. Menutup aurat ini bukan suka-suka, ikut orang lain atau ikut trend tapi biarlah niat ikhlas kerana Allah.

   Aurat yang selalu dipandang remeh oleh seorang wanita ialah stoking dan sarung lengan. Kaki dan lengan itu aurat juga tau.Tidak cantik, atau nampak kolot tidak mengapa, asalkan aurat dipelihara. Menutu aurat ini datang secara berpakej. Selain dari patuh syariah, akhlak juga mesti patuh syariah supaya kita tidak menjadi fitnah terhadap Islam. Sekiranya salah satu daripada kedua-dua ini tidak dipenuhi, apa sahaja yang diperagakan oleh seseorang itu tidak lebih sekadar fesyen kapitalis agama sahaja.Oleh itu, hendaklah menutup aurat selaras dengan perintah Allah.

   Kalau boleh sebagai wanita yang dihormati, kurangkan berselfie seorang diri dan galak update gambar di media sosial. Tidak salah pun nak berselfie tapi pastikan aurat anda terpelihara dan tidak melakukan gaya-gaya yang mengundang rasa dalam hati lelaki. Biaslah perempuan, sebab HYM pun perempuan juga dan faham keinginan anda semua.

Okay,yang tadi tu semua aurat bagi seorang perempuan. Mari kita beralih kepada aurat seorang lelaki pula. Walaupun, aurat mereka nampak mudah, tapi masih lagi ada yang tidak menjaga auratnya dengan baik. Malah, sering mengambil mudah dalam penjagaan batas aurat ini.

Jarhad al-Aslami r.a, menceritakan, "Rasulullah s.a.w duduk bersama kami sedangkan pehaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Apakah kamu tidak mengetahui bahawa peha juga adalah aurat?"    [Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Malik]

Betapa ramai kaum lelaki gemar menyarungkan seluar pendek sebagai pakaian santai atau ketika bersiar-siar. Tidak salah memakain seluar pendek paras lutut kerana syarat menutup aurat sudah ditutupi. Tetapi, sekirinya mereka melakukan aktiviti yang lasak, duduk dan sebagainya. Lutut mereka akan terdedah.Perkara ini sepatutnya diambil berat oleh kaum Adam agar pergaulan seharian mereka tidak menjerumuskan diri ke lembah dosa.

   Secara konklusinya, menutup aurat dengan sempurna itu wajib bagi setiap muslim tidak kiralah lelaki atau wanita. Masih belum terlambat jika kita mahu mengubah cara hidup kita ke arah yang lebih baik kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk setiap hamba-Nya sehingga hari kiamat. Jadi, janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada atau melengah-lengahkan dalam membuat kebaikan sebab mati itu bila-bila. HYM harap, perkongsian yang sedikit ini dapat membantu sesiapa sahaja yang membaca tulisan HYM ni. Akhir kalam, HYM nak berkongsi sedikt kata-kata penulis hebat iaitu Ustaz Pahro Mohamad Juoi yang berbunyi:

"Aurat di hati patut di tutup sama seperti menutup aurat pada tubuh badan. Malah, aurat di hati jauh lebih penting dijaga demi memastikan kita tidak liar. Kalau hati makin liar walaupun sudah bertudung, tingkah laku juga kan menjadi liar. Maka ketika itu aurat tidak akan mampu menjaga maruah dan akhlak diri."

-Wallahua'lam-

You Might Also Like

0 comments

WORDS OF WISDOMS

Train your mind to see the good in every situation