PERSEPSI VS REALITI Wanita Terhadap Pusaka Suami

August 15, 2018




Assalamualaikum semua. 

Kalini saya kembali dengan topik yang agak serius dan penting juga untuk semua terutamanya wanita iaitu berkenaan dengan pusaka. Ramai orang yang tidak ambil tahu tentang perkara ini kerana mereka tidak tahu apa yang mereka tidak tahu. Kenapa saya fokuskan cerita tentang pusaka ini kepada wanita? Mengikut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2017), jangka hayat wanita ialah 77.4 tahun manakala lelaki pula 72.7 tahun. Statistik ini membuktikan bahawa jangka hayat wanita lebih panjang jika nak dibandingkan dengan lelaki. Jadi, bagi yang sudah berkahwin, ilmu pusaka ini sangat penting untuk diambil tahu supaya harta-harta yang ada dapat diuruskan dengan baik walaupun selepas kematian. Isu ini penting untuk kehidupan si isteri apabila si suami meninggal dunia terlebih dahulu. Bagaimana isteri nak menguruskan anak-anak sendirian apabila suaminya sudah tiada nanti. Harta-harta suami ataupun yang sepencarian tidak akan menjadi milik isteri sepenuhnya apabila suami meninggal dunia nanti kerana bahagian suami akan jadi faraid. Bagaimana faraid boleh diubah? Sudah tentu dengan hibah semasa suami masih hidup lagi. Banyak persepsi wanita yang salah tentang pusaka ini antaranya:

  • Rumah bersama menjadi 100% milik isteri selepas kematian suami
Ramai yang berfikir bahawa rumah akan menjadi milik isteri 100% selepas kematian suami. Tetapi hakikatnya, isteri akan mendapat bahagian isteri sahaja manakala bahagian suami akan menjadi faraid kepada keluarga suami. Inilah realitinya walaupun rumah tersebut merupakan harta sepencarian mereka berdua, suami isteri. Secara praktikalnya, bagaimana nak membahagikan rumah yang sepatutnya didiami oleh si isteri dan anak-anak selepas kematian si suami sekiranya ada adik-beradik suami yang menuntut bahagiannya? Logik ke, isteri dan anak-anak berkongsi rumah dengan adik-beradik ipar selepas kematian suami? Bagaimana jika mereka tidak mahu melepaskan hak (faraid) terhadap rumah tersebut? Akhirnya, rumah terpaksa dijual dan isteri serta anak-anak akan hilang tempat berteduh. Kesiankan?
  • Isteri boleh memperolehi pusaka tunai suami secara automatik bagi pihak anak yang bawah umur
Kenyataannya, harta milik anak bawah umur ini tidak secara automatik dapat kepada isteri jika tidak dihibahkan semasa suami masih hidup. Praktikalnya begini, jika suami tidak sempat merancang/hibah, isteri tidak boleh menggunakan bahagian anak yang bawah umur. Isteri hanya berhak menggunakan bahagian dia sendiri sahaja. Jadi, dengan wang tersebutlah dia gunakan untuk membesarkan anak-anak, bayar segala bil dan sara hidup sehinggalah umur anak tersebut mencecah 18 tahun. Kesiankan isteri kena tanggung semua ini sendirian? Cukup ke duit belanja isteri dan anak-anak? Tapi, jika suami semasa hayatnya telah merancang/hibah kan harta kepada isteri, isteri akan menjadi pemegang amanah kepada anak-anak, isteri boleh menggunakan bahagian anak seperti yang dihasratkan oleh suami. Suami boleh menetapkan syarat-syarat untuk penggunaan wang tersebut seperti contoh, suami tetapkan isteri boleh mengambil RM2000 sahaja sebulan untuk perbelanjaan anak-anak. Bukankah ini perancangan yang sangat baik untuk keluarga kita?
  • Isteri merupakan pemilik mutlak wang simpanan tersebut kalau isteri sebagai penama
Hakikatnya, segala wang simpanan suami seperti KWSP, isteri bukanlah pemilik mutlak tetapi isteri sebagai pemegang amanah sahaja terhadap wang simpanan tersebut. Pemegang amanah bermaksud orang yang bertanggungjawab untuk mengagihkan harta si mati. Di sini bermaksud isteri WAJIB mengagihkan harta tersebut mengikut faraid selepas kematian suami. Boleh ke kalau suami mahu berikan kepada orang yang tertentu? Mestilah boleh, kalau dia hibahkan mengikut kepada siapa yang dia mahu beri.
  • Proses mengurus pusaka adalah mudah dan boleh dibuat sendiri oleh waris
Ramai yang beranggapan bahawa mengurus pusaka ini merupakan perkara yang mudah. Sedangkan hal pengurusan pusaka ini merupakan perkara yang sangat rumit lebih-lebih lagi jika pemilik harta tersebut telah meninggal dunia. Mana yang nak naik turun mahkamahnya, isi borang itu dan ini, nak mencari dokumen-dokumen yang diperlukan, nak kumpulkan waris-waris dan kos peguam yang tinggi. Ini yang dikatakan mudah? Ada satu kes yang sebegini, menganggap perkara ini mudah diuruskan, tetapi apabila dia merasai sendiri bagaimana nak menguruskan semua dari A-Z barulah dia sedar, hal ini tidak semudah yang disangkakan dan akhirnya harta itu tidak dapat diuruskan dengan baik. Realitinya, jika anda ada 18 orang adik-beradik sekalipun, jika tiada kesepakatan, perkara ini tidak akan selesai, yang mereka tahu, hanyalah nak bahagian/hak masing-masing.
  • Proses mengurus pusaka memakan masa yang singkat
Pengurusan pusaka ini bukan harini kita dokumentasikan, minggu depan sudah boleh terima pusaka. Ada kes dimana kes dibawa ke mahkamah pada tahun 2016, tapi sehingga tahun ini 2018 belum lagi dapat diselesaikan. Ada juga yang semasa pengurusan pusaka, dia pula yang meninggal dunia. Selagi mana tidak selesai, selagi itulah harta tersebut beku dan terbengkalai. Jadi, sila buang tanggapan bahawa nak menguruskan pusaka ni kejap je, mudah je, dekat je.

Suami, fahamilah dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda.

Rancang kerana sayang, zahirkan dengan perbuatan.


You Might Also Like

0 comments

WORDS OF WISDOMS

Train your mind to see the good in every situation